My Add

Friday 26 July 2013

Ramsar Tasik Bera dipulihkan, tanam semula pokok balak

 * SEBAHAGIAN daripada kira-kira 90 kakitangan Perhilitan giat menanam pokok merawan jantan di hutan tanah lembap (Ramsar), Tasik Bera, semalam - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
BERA, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memulakan penanaman pokok balak spesies merawan jantan di kawasan hutan tanah lembap atau Ramsar, Tasik Bera dalam usaha memulihkan kawasan itu yang telah terjejas akibat diceroboh secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan terlibat hari ini mendapati kira-kira 90 kakitangan Perhilitan giat menanam pokok berkenaan.

Difahamkan lebih 1,000 benih pokok spesies tersebut ditanam sejak semalam dan berakhir hari ini setelah hampir 450 hektar kawasan tanah lembap itu diceroboh sejak dua tahun lalu seperti didedahkan akhbar ini baru-baru ini.

Selain menanam semula pokok balak berkenaan, kakitangan Jabatan Perhutanan dan Perhilitan turut memusnahkan benih anak pokok kelapa sawit yang ditanam di kawasan itu sebelum ini.

Usaha memulihkan kawasan berkenaan akan dijalankan secara berterusan sehingga kesemua kawasan yang digondolkan itu ditanam semula dengan benih pokok balak tersebut.

Menurut pegawai perhutanan yang enggan nama dan gambarnya disiarkan berkata, benih pokok balak tersebut dipilih kerana tahan dalam semua keadaan cuaca terutamanya cuaca panas.

Namun begitu, usaha untuk memulihkan semula ekosistem di kawasan yang kaya dengan pelbagai sumber biodiversiti itu akan mengambil masa yang lama kerana penanaman pokok berkenaan tidak akan dapat mengembalikan semula sepenuhnya keadaan tanah Ramsar seperti sebelum dicerobohi.

Selain itu, terdapat satu lagi penampan Ramsar turut dicerobohi seluas kira-kira 90 hektar dan sudah ditanam dengan pokok kelapa sawit yang dianggarkan berusia hampir dua tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman meminta masyarakat orang Asli yang tinggal di sekitar Tasik Bera menjadi telinga dan mata kerajaan bagi menyalurkan sebarang maklumat mengenai pencerobohan hutan tanah lembap atau Ramsar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sikap berdiam diri dan hanya melihat orang luar datang menceroboh tanah Ramsar bukan sahaja merugikan negara tetapi turut merugikan masyarakat mereka sendiri.

“Mereka boleh menghalang pencerobohan pada peringkat lebih awal jika terus memberikan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan hutan tersebut terus dilindungi daripada sebarang aktiviti yang boleh merosakkan khazanah negara.

“Ketua masyarakat Orang Asli mempunyai peranan bagi memastikan hutan berkenaan terus dipelihara kerana mereka juga turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa Ramsar dan bertanggungjawab untuk memelihara kawasan berkenaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment