My Add

Tuesday 23 July 2013

Masukkan ratu cantik dalam enekmen jenayah syariah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) meminta kerajaan mempertimbangkan pertandingan ratu cantik dimasukkan dalam enakmen jenayah syariah bagi membolehkan hukuman dikenakan terhadap peserta beragama Islam dan penganjur.

Pengerusinya, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata setakat ini di Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan gadis Islam menyertai pertandingan sedemikian.

"Jika orang Islam dilarang dari berjudi, tidak dibenarkan membeli loteri, masuk tempat perjudian dan boleh dihadapkan ke mahkamah syariah, maka fatwa melarang wanita Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik perlu diperundangkan supaya tindakan boleh diambil terhadap peserta dan penganjur.

"Jangan biarkan wanita Islam terus dieksploitasi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan anggota jawatankuasa MPWIM 2013 dan sidang media Majlis Penganugerahan Keluarga Mithali 2014 di sini hari ini.

Noor Aziah yang juga pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengulas insiden empat gadis Islam antara 20 peserta yang dipilih sebagai finalis pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 2 Ogos ini.

Pemilihan finalis bagi pertandingan ratu cantik itu dibuat dalam satu sesi temuduga tertutup yang berlangsung di sini pada 12 Julai lepas dan majlis memperkenalkan mereka berlangsung baru-baru ini.

Bagaimanapun penglibatan empat gadis Islam itu bertentangan dengan fatwa mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, yang melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment