My Add

Friday, 26 July 2013

Maybank agih zakat RM15.2 juta seluruh negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) hari ini melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic bertujuan mengagihkan zakat perniagaannya bagi tahun 2012 berjumlah RM15.2 juta ke seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.4 juta diagihkan kepada pusat zakat di setiap negeri manakala selebihnya diagihkan terus kepada golongan asnaf yang layak menerusi program Ramadan Relief dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berkata, pihaknya komited dalam mengekalkan usaha membantu lebih ramai golongan memerlukan di seluruh negara menerusi program -program kemasyarakatan hasil sumbangan zakat perniagaan setiap tahun.

"Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat, kami akan terus menjalankan lebih banyak program seperti ini kerana ini adalah platform terbaik meningkatkan taraf ekonomi serta meringankan beban kehidupan masyarakat Islam di Malaysia," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Kembara Zakat Maybank Islamic di sini.

Dalam majlis itu, Muzaffar turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.1 juta kepada Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi MAIWP.

Dalam majlis itu juga, Maybank Islamic menyerahkan sebanyak 35,000 unit beg troli kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bagi kegunaan jemaah yang bakal mengerjakan haji tahun ini.

Sementara itu, Muzaffar berharap sumbangan beg troli menerusi program Sahabat Korporat Tabung Haji tersebut dapat membantu perjalanan jemaah haji ketika berada di tanah suci.

"Di samping itu, kami juga menyediakan beg kecil serta buku panduan menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk para jemaah. Doa kami supaya perjalanan para jemaah ke Tanah Suci dipermudahkan dan semoga mendapat haji yang mabrur," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment