My Add

Friday 26 July 2013

Peniaga jual ayam RM6.80 sekilogram di Pasar Alor Setar

 * ANAK Mohd. Zahir Zainal Abidin, (kiri) Muhammad Zuhair dan Mohd. Zahiri menyusun ayam daging yang dijual harga lebih rendah iaitu RM6.80 sekilogram di Pasar Besar Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Walaupun harga ayam standard ditetapkan pada kadar RM7.70 sekilogram di seluruh negara berkuat kuasa esok, peniaga ayam, Mohd. Zahir Zainal Abidin, 59, di sini memilih untuk menjualnya pada harga lebih murah iaitu RM6.80 sekilogram.

Menurut Mohd. Zahir yang merupakan pemilik ED Ayam di Pasar Besar Alor Setar di sini, harga RM7.70 itu masih mahal kepada pengguna terutama yang berpendapatan rendah.

Katanya, beliau sebelum ini menjual ayam pada harga lebih rendah iaitu RM7.20 namun membuat keputusan untuk menurunkannya terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

"Harga ditetapkan masih tinggi, bayangkan kalau seekor mungkin menjangkau RM20 dan bagi yang berpendapatan rendah tentu di luar kemampuan. Ramai yang suka makan ayam terutama bulan puasa dan hari raya tetapi tidak banyak yang mampu beli ayam, itu niat saya sebenarnya.

"Seperti biasa walaupun jauh lebih rendah, saya tetap akan memperoleh keuntungan terutama apabila mampu menjual sehingga 2,000 ekor sehari pada Ramadan dan sehingga 4,000 ekor pada hari raya ini," katanya ketika ditemui di pasar itu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek baru-baru ini mengumumkan harga ayam standard akan ditetapkan pada harga siling RM7.70 sekilogram di seluruh negara berbanding purata harga runcitnya sekarang, RM8.40 sekilogram.

Hasan berkata, penurunan 70 sen itu akan dilaksanakan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa tahun ini selama 17 hari bermula esok sehingga 11 Ogos ini.

Dalam pada itu menurut Mohd. Zahir, seperti tradisinya sebelum ini beliau akan terus menurunkan harga ayam itu sehingga RM5.80 menjelang Hari Raya nanti.

"Menjelang raya permintaan terhadap ayam akan bertambah," katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga ayam yang dijual masih terkawal iaitu antara RM7.80 hingga RM8 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment