My Add

Friday 26 July 2013

Pantau tazkirah di masjid pembangkang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta memantau masjid di negeri pembangkang terutama sewaktu penyampaian tazkirah Ramadan kerana didakwa menyebar fitnah dan hasutan membenci parti serta individu tertentu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, beliau menerima aduan terdapat pendakwah di beberapa masjid di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan mengambil kesempatan menghasut jemaah dengan ideologi yang memihak kepada pihak pembangkang dalam tazkirah mereka.

Sehubungan itu, tambahnya, Jakim perlu menyiasat aduan tersebut dan mengambil tindakan segera sekiranya terbukti benar.

"Saya mendapat aduan, tetapi tiada pihak yang mengambil tindakan sebaliknya dibiarkan begitu sahaja. Kita tidak mahu bulan Ramadan sama seperti bulan lain yang mana amalan menghasut dan memburuk-burukkan pemimpin dianggap perkara biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan bantuan zakat Hari Raya Aidilfitri 2013 UMNO Bahagian Cheras kepada kira-kira 500 penduduk kurang bernasib baik, di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Syed Ali berkata, Jawi perlu dijadikan contoh terbaik dalam menjalankan tanggungjawab memantau aktiviti masjid dalam memastikan tiada amalan bersifat kepartian dan politik di rumah ibadat tersebut.

Menurut beliau, Jawi sebelum ini pernah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menggunakan masjid untuk menghasut serta memfitnah dan tindakan serupa perlu diambil dalam isu tazkirah Ramadan tersebut.

"Saya khuatir jika perkara ini terus dibiarkan, ada pihak akan menganggapnya perbuatan yang dibolehkan sedangkan masjid adalah tempat untuk beribadat, bukan untuk berpolitik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment