My Add

Thursday 4 July 2013

Media ejen penting bentuk budaya politik: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Media adalah ejen penting untuk membentuk budaya politik yang baik dalam negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, dalam suasana pasca pilihan raya, media arus perdana dan media alternatif perlu memainkan peranan mengasuh rakyat serta ahli politik untuk menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan menghormati antara satu sama lain.

"Kalau ada pihak yang hendak menang dan berkuasa sehingga melakukan apa sahaja termasuk melanggar tatasusila, media boleh bantu mengasuh supaya ia tidak berlaku.

"Walaupun terdapat banyak aduan tentang pengendalian pilihan raya, tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi akhirnya mereka (rakyat) menerima hakikat berdasarkan sistem yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 di sini, hari ini.

Mengambil contoh sistem pilihan raya di Amerika Syarikat yang berbeza daripada sistem yang diamalkan di negara ini, beliau berkata rakyat negara itu boleh menerima keputusan pilihan raya dengan baik.

Katanya, walaupun sukar untuk menerima sesuatu kekalahan, tetapi pihak yang terlibat hendaklah tidak menggunakan kekerasan sebaliknya beralih kepada saluran yang tepat seperti undang-undang, media dan mahkamah untuk menyampaikan rasa hati mereka.

Ahmad Shabery dalam pada itu berkata rakyat juga harus dididik membezakan maklumat yang diterima daripada media khususnya media sosial. 

"Ada yang menyebar sesuatu secara 'anonymous', macam dulu ada surat layang. Ini beri impak yang berat. Rakyat harus bezakan mana yang benar dan tidak benar. Mana nak percaya.

"Kalau mereka (penulis) tidak sanggup paparkan nama dia, maka ia sesuatu yang sukar dipercayai dan tidak perlu diambil berat," tegasnya.

Sementara itu, menyentuh persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang dikatakan tidak mengadakan sesi soal-jawab dan menghalang wartawan Utusan Malaysia membuat liputan, Ahmad Shabery menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang malang.

"Saya hendak tahu sejauh mana ini merupakan perintah khusus atau dibuat oleh pengawal sahaja. Kalau benar, amat malang sebab ia dibuat oleh parti yang melaungkan kebebasan media. Itu diuar-uarkan sebelum dapat kuasa. Warna sebenar dapat dilihat bila dapat kuasa," katanya.

Beliau menegaskan sesi soal-jawab adalah penting bagi wakil kerajaan menjawab kemusykilan berhubung dasar yang dijalankan kerajaan.

Ahmad Shabery berkata, penubuhan saluran RTM Parlimen yang menyiarkan secara langsung Persidangan Dewan Rakyat adalah langkah progresif yang melambangkan keterbukaan media kerajaan.

"Orang melihat secara 'real-time'. Apa yang berlaku pada masa itu, dapat dilihat pada masa itu juga. Ia merupakan penanda aras yang baharu dari aspek keterbukaan media dan kita juga bersifat adil kepada wakil pembangkang," katanya.

Seminar hari ini adalah anjuran South-South Information Gateaway dan Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment