My Add

Thursday 18 July 2013

Misi sukarelawan YSS diiktiraf Vietnam

Oleh ROSALINDA MD. SAID

 * PESERTA YSS yang menyertai Program Vietnam Green Summer Volunteer 2013 bergambar bersama Zuraidah Atan (tengah) pada majlis pelancaran program itu di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Misi sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Vietnam mendapat pengiktirafan kerajaan negara itu selepas pasukan Malaysia diberi peluang menyertai program 'Vietnam Green Summer Volunteer 2013'.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YSS, Datuk Zuraidah Atan berkata, penyertaan YSS dalam program sukarelawan selama lima minggu bermula 14 Julai lalu hingga 18 Ogos ini disifatkan sebagai penghormatan terbesar terutama dalam menggerakkan aktiviti sukarelawan berimpak tinggi.

Menurut beliau, Vietnam Green Summer Volunteer 2013 merupakan program sukarelawan siswa yang berprestij dan disertai ribuan belia serta penuntut universiti terpilih sekitar bandar Ho Chi Minh.

"Saya bangga dengan kesungguhan pasukan YSS yang bukan sahaja bersedia mempelajari cara hidup rakyat tempatan, malah bekerjasama dengan rakan-rakan dari Vietnam untuk menolong komuniti yang memerlukan di negara itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran Green Summer Volunteer 2013 baru-baru ini turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh, Shazryll Zahiran.

Pasukan sukarelawan YSS diwakili empat penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini, Mohd. Syafiq Mohd. Khairuddin, Yap Ken Vun, Nur Fatin Anis Mohd. Zuber dan Nur Fatihah Arifin.

Dalam perkembangan sama, Zuraidah berkata, dua lagi penuntut Malaysia akan dihantar menyertai program itu dalam masa terdekat.

"Dengan pengalaman ini, kita yakin dapat melahirkan lebih ramai ikon sukarelawan siswa Malaysia yang bersemangat juang tinggi sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Antara program yang akan dilaksana sepanjang program itu ialah khidmat sukarelawan membina jalan raya, bilik multimedia di sekolah dan mendapatkan dana bagi rumah anak yatim selain kempen peningkatan kesihatan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment