My Add

Wednesday 3 July 2013

Jawatan Ketua Wanita UMNO panas

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Jawatan Ketua Wanita UMNO menjadi 'kerusi panas' apabila beberapa nama disebut-sebut untuk mencabar kedudukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelang pemilihan parti itu penghujung tahun ini.

Selain Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah menawarkan diri bertanding jawatan itu, seorang lagi pemimpin dari Johor dikhabarkan akan berbuat demikian.

Pemimpin wanita itu yang juga merupakan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd. Sadique dilihat layak mengisi jawatan tersebut ekoran kemenangan dua penggal berturut-turut pada pilihan raya umum sejak 2008.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ketika ditemui di lobi Parlimen menunjukkan reaksi terkejut apabila ditanya adakah beliau berminat menawarkan diri mencabar kedudukan Shahrizat yang akan mempertahankan jawatan tersebut.

Bekas Exco Wanita UMNO itu bagaimanapun tidak mengiya atau menidakkan khabar angin tersebut sebaliknya menunjukkan isyarat mengunci mulut.

Shahrizat baru-baru ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan dimenanginya daripada Tan Sri Rafidah Aziz pada tahun 2009 itu.

Halimah, 51, yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor berpengalaman dalam pembangunan masyarakat dan kerajaan tempatan.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu memulakan karier politik pada 1995 selepas dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Lambak pada Pilihan Raya Umum Ke-9 (PRU-9). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment