My Add

Sunday 7 July 2013

Musyawarah atasi isu tentukan agama anak

         Khairul Anwar Mohamad, Dr. Yusri
KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Kerajaan digesa mengadakan musyawarah bersama Ahli Parlimen, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan ulama berhubung Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, tindakan itu perlu supaya keputusan kerajaan menarik semula pembentangan rang undang-undang tersebut di Parlimen semalam dapat dikaji semula.

Menurutnya, langkah itu juga dapat menentukan sejauh mana kesediaan ahli-ahli Parlimen terutama yang beragama Islam mendukung ikrar mereka memelihara keluhuran undang-undang dan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kita usah tewas sebelum berjuang, ini soal akidah anak-anak kita di bawah usia 18 tahun yang mana ibu atau bapa yang sudah mendapat hidayah Islam wajib pertahan akidah anak mereka.

"Lagipun, perkara ini sudah ditafsirkan dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan iaitu dalam kes Subahsini lawan Saravanan, tidak memerlukan kedua-dua persetujuan ibu bapa dalam menentukan agama anak, cukup sekadar salah seorang ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, SukaGuam menyeru umat Islam, ahli Parlimen serta NGO bersatu mempertahan dan memastikan rang udang-udang berkenaan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

"Apalah ertinya Islam diiktiraf agama Persekutuan jika rang undang-undang memelihara akidah anak umat Islam tidak dapat dibentang dan diluluskan? Inilah masa kita melihat semua umat Islam bersatu mempertahan agama kerana perbuatan itu adalah jihad," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad berharap proses perbincangan susulan berhubung perkara tersebut berjalan lancar dan tidak terikat dengan tekanan mana-mana pihak.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap keputusan akhir dapat diterima semua pihak meskipun tidak sepenuhnya menyebelahi mereka.

"Saya rasa adalah mustahil untuk mencari formula supaya semua pihak setuju, tetapi kita perlu bersedia bertolak-ansur," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment