My Add

Sunday 7 July 2013

Teliti secara menyeluruh

    Mohd. Zaidi, Musa Awang
KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Kerajaan digesa tidak menarik balik sepenuhnya Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sebaliknya membuat penelitian secara menyeluruh bagi mengelak perihal sesuatu undang-undang itu bertentangan dengan hukum syarak.

Perunding Syariah, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berkata, penelitian juga perlu supaya undang-undang yang bakal dilulus serta diperkenan Yang di-Pertuan Agong itu kelak menjadi hak eksklusif Mahkamah Syariah dan tidak boleh dicabar di Mahkamah Sivil.

Katanya, rang undang-undang itu perlu diteruskan dan bukan terhenti begitu sahaja dengan penelitian berhubung kedudukan sama ada ibu atau bapa yang boleh membawa anak mengikut agama tertentu.

"Namun, jika undang-undang ini tidak ada (digubal) akan menyebabkan perkara ini boleh dibawa (dicabar) di Mahkamah Sivil. Jika ada pentadbiran di bawah Mahkamah Syariah, jelas akan memberi kuasa eksklusif kepada mahkamah berkenaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak adalah Islam, selepas ia dibaca kali pertama di Dewan Rakyat, 26 Jun lalu.

Isu berkenaan bermula pada 2007 selepas seorang wanita Hindu, R. Subashini mahu mendapatkan perintah menghalang bekas suaminya, Muhammad Shafi Saravanan Abdullah mengislamkan anak kedua mereka, Sharvind.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pihaknya tetap dengan pendirian rang undang-undang tersebut secara keseluruhannya adalah baik untuk penambahbaikan pentadbiran Islam dengan memasukkan peruntukan baharu yang bersesuaian.

Menurutnya, perkara itu juga merupakan usaha untuk tidak menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai tercicir berbanding negeri-negeri lain.

"Namun, penarikan balik rang undang-udang tersebut adalah tindakan wajar dalam keadaan ada pihak cuba memanipulasi dan memperbesarkan isu berkenaan pertukaran agama di bawah Seksyen 107 semata-mata, berbanding peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam rang undang-undang tersebut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PGSM mencadangkan kerajaan meneliti semula rang undang-undang tersebut dengan mengambil pandangan pelbagai pihak secara holistik.

Tambahnya, rang undang-undang itu perlu dibentangkan semula dalam bentuk pindaan kepada seksyen-seksyen tertentu sebagaimana Akta Undang-Undang Keluar Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 2006).

"PGSM turut kesal dengan sikap segelintir wakil rakyat Islam di Parlimen sama ada daripada kerajaan atau pembangkang yang berdiam diri dalam mempertahan rang undang-undang Islam ini sebelum ditarik balik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment