My Add

Monday 1 July 2013

Potensi bisnes misi pelaburan Malaysia cecah RM600 juta

 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Presiden Tanzania, Jakaya Mrisho Kikwete ketika menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global di Julius Nyerere International Convention Centre, Dar Es Salaam, semalam. - BERNAMA
DAR ES SALAAM, AHAD, 30 Jun, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Tanzania untuk berlepas ke London malam ini selepas lawatan kerja tiga hari dengan beberapa kejayaan termasuk misi pelaburan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencatat nilai potensi pelaburan dan perniagaan lebih RM682.34 juta.

Menurut Perdana Menteri, ia hasil rundingan dan perbincangan-perbincangan diadakan oleh 28 agensi dan syarikat Malaysia yang terlibat dalam misi pelaburan Malaysia di bawah Matrade dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013) di sini selama empat hari bermula 28 Jun lalu.

Tambah beliau, sempena Global 2013, kesemua 28 agensi dan syarikat terbabit dengan 60 orang perwakilan, turut terlibat dalam Pameran Teknologi, Produk dan Perkhidmatan Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerera tempat berlangsungnya dialog itu di sini.

"Misi pelaburan dan pameran ini memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu iaitu pertanian, tenaga, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), produk dan perkhidmatan. Daripada pengamatan kita, minat yang telah ditunjukkan oleh pelawat-pelawat dalam pameran tersebut sangat menggalakkan," katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbarnya di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, syarikat Kumpulan UEM kini dalam proses rundingan untuk membina lebuh raya bertol di Tanzania iaitu menghubungkan bandar Dar es Salaam dan negeri-negeri di luar bandar ini.

Menurutnya, lebuh raya itu nanti bakal merangsang ekonomi Tanzania berikutan dan akan mempercepatkan akses ke pelabuhan di Dar es Salaam di mana lokasinya paling strategik di rantau ini kerana ia turut digunakan oleh negara lain di Afrika termasuk Rwanda dan Burundi.

"Kita juga melalui syarikat yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad akan melabur di Tanzania dalam bidang kesihatan iaitu membina hospital pakar swasta di Dar es Salaam," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan Global 2013 berjaya mencapai matlamatnya untuk memberi penekanan kepada sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam merangsang serta melonjakkan sosioekonomi di negara-negara Afrika.

"Saya dapati mereka (negara-negara Afrika) melihat Malaysia sebagai negara sahabat yang ikhlas, mereka ingin tahu rahsia kita mentadbir kerajaan dan membangunkan negara serta menjadi negara kita sebagai penanda aras.

"Mereka serius mahu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi malah dalam dialog hari ini, mereka banyak menyentuh soal kepentingan standard atau piawaian yang bakal menentukan daya saing, pencapaian dan kejayaan wawasan negara masing-masing," katanya.

Tambah Najib, Malaysia telah menyatakan akan meneruskan komitmennya untuk terlibat serius dalam dialog tersebut termasuk persetujuan untuk menjadi tuan rumah pada 2015. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment