My Add

Friday 26 July 2013

Nelayan terkejut temui bangkai buaya tembaga

 * ORANG ramai melihat bangkai buaya di jeti nelayan Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, semalam.
KUALA SELANGOR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Seorang nelayan terkejut apabila melihat objek yang disangka kayu terapung merupakan bangkai seekor buaya di Sungai Selangor di sini hari ini.

Difahamkan, nelayan yang menemui bangkai buaya tembaga kira-kira pukul 9 pagi itu bertindak menarik reptilia itu sehingga ke jeti nelayan Kampung Bukit Belimbing di sini sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bangkai buaya itu daripada orang awam di kawasan tersebut.

Menurutnya, buaya tembaga seberat kira-kira 1,000 kilogram dan 6.096 meter panjang itu kemudian di hantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Hulu Selangor untuk tujuan siasatan.

''Kita masih tidak tahu punca kematian buaya tembaga itu dan bangkainya dihantar ke pusat konservasi itu untuk tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penemuan buaya itu, Rahim memberitahu, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak mengenai gangguan buaya di kawasan Sungai Selangor.

Namun katanya, orang awam terutama penduduk tempatan mengaku pernah melihat dan terserempak dengan reptilia itu tetapi tidak pernah mengganggu mereka.

''Kita tidak nafikan memang terdapat buaya di kawasan itu yang memang habitat haiwan tersebut.

''Namun setakat ini, kita tidak pernah menerima aduan tentang kekacauan atau ancaman buaya itu pada penduduk setempat namun kita sentiasa menjalankan pemantauan," katanya.

Sehubungan kejadian itu, Rahim menasihatkan orang ramai terutama penduduk dan nelayan agar lebih berwaspada.

''Aktiviti harian penduduk dan nelayan boleh dijalankan seperti biasa, cuma kita minta mereka supaya berhati-hati," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment