My Add

Saturday 6 July 2013

Tambah aset bumiputera

Oleh Haniza Hassan

 * AHMAD Maslan memilih kek cawan sambil diperhatikan oleh Hasrunizah Hassan (kiri) dan Hirul Fadhiah Ismail (kanan) di kedai kek House Of Mini di Nusajaya, Johor, semalam. - utusan/RAJA JAAFAR ALI
NUSAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengimbangi pemilikan premis untuk bumiputera dan bukan bumiputera di kawasan baharu terutama kawasan tumpuan pelancong.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana pemilikan bumiputera dilihat kurang dan perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mewujudkan persaingan sihat sekali gus memberi imej positif di mata pengunjung tentang keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, pada masa ini kebanyakan premis perniagaan baharu mempunyai jumlah peniaga bumiputera yang terlalu sedikit dan ia merupakan satu trend yang tidak sihat dan agak membimbangkan.

“Sebagai contoh di Lembah Klang, hanya 15 peratus premis perniagaan dimiliki bumiputera dan saya rasa keadaan turut berlaku di seluruh bandar besar di negara ini, jadi keadaan ini merupakan satu perkara yang patut dirisaukan.

“Sehubungan itu, ia harus diambil perhatian serius oleh pihak-pihak yang membuat kelulusan di mana premis-premis ini ingin dibuka. Mungkin kadar 30 hingga 40 peratus adalah sesuai untuk masa kini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai kek dan pastri, House Of Mini di Puteri Harbour, di sini hari ini.

House Of Mini yang merupakan cawangan pertama di negeri ini selain mempunyai lima lagi di seluruh negara diusahakan oleh dua sahabat, Hasrunizah Hassan dan Hirul Fadhiah Ismail.

Ujar Ahmad, beliau akan meneliti perkara dan keperluan itu dengan mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu bagi memastikan pemilikan premis perniagaan bumiputera di lokasi strategik akan ditambah.

Menurut beliau lagi, bumiputera dan kaum lain juga mampu mewujudkan perniagaan di kawasan baharu dan tumpuan pelancong, malah kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan, pinjaman dan insentif untuk peniaga berkenaan.

“Bumiputera juga mampu bersaing dengan kaum lain. Kerajaan sediakan banyak pinjaman, tabung dan dana yg boleh diterokai dengan gigih oleh peniaga. Malah, pelbagai usaha boleh dibuat untuk memajukan diri sendiri dan yang penting usahawan kena agresif untuk dapatkan dana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment