My Add

Thursday 25 July 2013

Tindakan sewajarnya jika doktor bersalah

PUTRAJAYA, RABU, 24 Julai, 2013: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang memberi layanan buruk kepada pesakit sekiranya didapati bersalah.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya kini sedang menunggu maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak kementerian berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, siasatan tersebut dijalankan secara sendirian oleh pihak kementerian memandangkan tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Bila kita mahu maklumat tersebut daripada kerajaan negeri tentang aduan dan apa yang telah dibincangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), kita hadapi kesusahan mendapatkan maklumat dan kerjasama daripada mereka," katanya.

Beliau mengulas tentang layanan buruk doktor berkenaan dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dalam sidang akhbarnya menampilkan beberapa pesakit yang mendakwa menerima layanan buruk daripada doktor di dua buah hospital kerajaan di Pulau Pinang bagi membuktikan kejadian itu memang berlaku.

Katanya penampilan pesakit-pesakit itu bagi membuktikan apa yang beliau bangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini adalah benar.

"Hari ini saya tampil untuk membuktikan dan tunjukkan kebenaran tentang aduan daripada rakyat kepada saya, saya hendak mereka (mangsa) sendiri cakap kerana mereka yang terkena.

"Adalah tugas saya sebagai wakil rakyat untuk membantu penduduk di kawasan saya, dan saya tidak mahu orang lain menerima nasib yang sama," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berminat untuk mengetahui perkara tersebut.

"Beliau berkata, pihak kementerian kena buat pemeriksaan, kalau betul, kena ambil tindakan dan kalau tidak betul, minta maaf," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment