My Add

Monday 22 July 2013

Palestin setuju berunding jika ada jaminan

BAITULMAQDIS, AHAD, 21 Julai, 2013: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersetuju menyambung semula rundingan damai dengan Israel hanya selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry memberi jaminan bertulis bahawa rundingan itu akan berasaskan sempadan Israel sebelum 1967, kata dua orang pegawai kanan Palestin, semalam.

Pegawai itu yang bersama dalam perbincangan dalaman Palestin berkata, surat AS itu juga memberi syarat kepada kedua-dua pihak supaya perlu mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh mengganggu hasil rundingan damai tersebut.

''Surat itu turut mensyaratkan bahawa Israel tidak akan mengeluarkan tender baharu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, manakala Palestin tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan diplomatik ke atas Israel di sebarang organisasi antarabangsa.

''Perbincangan bersama Kerry sebelum ini hampir gagal dan surat tersebut menjadi talian hayat di saat akhir,'' kata pegawai, yang enggan dikenali itu.

Bagaimanapun, tiada kenyataan dikeluarkan Jabatan Negara AS berhubung jaminan yang diminta Presiden Palestin itu.

Pegawai AS berkata, sebelum ini Kerry mengulangi pendirian Washington untuk memperbaharui rundingan damai itu termasuk penubuhan negara Palestin perlu dirunding berasaskan sempadan Israel sebelum perang 1967 apabila rejim Zionis menakluk Genting Gaza, Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Kerry, kelmarin mengumumkan bahawa Palestin dan Israel bersetuju untuk kembali ke proses damai yang gagal lima tahun lalu.

Kedua-dua pihak bertelagah itu dijangka bertemu semula beberapa minggu akan datang bagi mencapai maklumat akhir untuk menyambung semula rundingan damai tersebut.

Kerry, bagaimanapun enggan mendedahkan persetujuan dicapai dalam rangka kerja rundingan damai tersebut.

''Pilihan terbaik untuk memberi peluang kepada rundingan damai ini adalah tidak mendedahkan maklumatnya,'' katanya. - AP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment