My Add

Wednesday 24 July 2013

Pameran Malaysia di Kemboja kumpul RM63.66 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Peserta pameran Malaysia meraih RM63.66 juta nilai jualan dan projek sempena Pameran Malaysia-Kemboja di Phnom Penh, bulan lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, jualan eksport itu dilaporkan oleh 30 syarikat, pembekal perkhidmatan, agensi-agensi dan organisasi kerajaan yang mengambil bahagian pada pameran yang berlangsung selama tiga hari, dan menarik lebih 20,000 pengunjung itu.

Matrade mengatur 737 mesyuarat perniagaan untuk peserta pameran Malaysia dengan pengimport, ejen, pengedar dan rakan dagang Kemboja, pada acara itu.

"Jualan itu membabitkan aplikasi dan aksesori kediaman, automotif, pencahayaan LED, makanan sejuk beku, gris dan pelincir.

"Penyedia perkhidmatan Malaysia juga merundingkan perniagaan francais yang berpotensi, animasi 3D dan menawarkan perkhidmatan dan produk CCTV," kata agensi itu.

Produk lain yang menjana minat ialah perabot untuk hotel, peralatan makmal tanah, pembungkusan material, perasa makanan dan haruman.

Pameran Malaysia-Kemboja keempat itu berlangsung sempena Pameran PKS Malaysia-Kemboja yang dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCIM).

Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Asean, Matrade akan menganjurkan program promosi perdagangan di Myanmar dan Vietnam untuk tempoh berbaki tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment