My Add

Monday 15 July 2013

Pas digesa bertegas kecam kenyataan Marino

 Nakhaie Ahmad
KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Pas diminta membuktikan ketegasannya dalam mempertahan kesucian agama Islam di negara ini dengan mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, tindakan itu perlu diambil selaras pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan agama lain.

Malah, menurut beliau, Pas juga seharusnya meyakinkan sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Pas hendaklah menyuarakan bantahan dan mempengaruhi rakyat menolak kenyataan Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

"Jangan senyap sahaja. Kalau diam, itu tandanya bersetuju," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nakhaie mengulas kenyataan Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini baru-baru ini menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Setakat ini, Pas masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi yang ditimbulkan Marino itu.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan pandangan beberapa pemimpin parti itu namun mereka memberi pelbagai alasan seperti belum membaca laporan akhbar dan kurang sihat.

Dalam perkembangan sama, Nakhaie menegaskan, Vatican City tidak berhak campur tangan dalam urusan membabitkan umat Islam di negara ini.

"Penganut Katholik bukan golongan majoriti di negara ini, namun mereka yang paling banyak menimbulkan konflik," katanya.

Sementara itu, aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dewan Ulama Pas tampil membantah kenyataan Marino.

"Kalimah Allah adalah untuk umat Islam dan kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun memperkotak-katikkan hakikat ini," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan Marino supaya tidak bermain api dengan membangkitkan isu yang menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment