My Add

Thursday 25 July 2013

PM Jepun lawat Malaysia dua hari

PUTRAJAYA, RABU, 24 Julai, 2013: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengadakan kunjungan rasmi selama dua hari ke Malaysia mulai esok sempena lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara merangkumi Singapura dan Filipina.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, lawatan kali kedua Abe ke Malaysia sebagai Perdana Menteri Jepun selepas lawatan pertama pada Ogos 2007 itu bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Jelas kenyataan itu, Abe dijadual bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu semasa serta bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala, serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Selain itu, tambahnya, mereka dijangka membincangkan hala tuju Dasar Pandang ke Timur dengan menumpukan kepada perluasan pembangunan ekonomi sejajar keutamaan kedua-dua negara.

"Jepun kekal sebagai antara rakan dagang Malaysia terbesar di Asia Timur iaitu yang kedua selepas China dan ketiga di dunia pada 2012 dengan jumlah perdagangan bernilai RM145.32 bilion.

"Jepun juga adalah pelabur asing terbesar bagi tempoh 1980 hingga 2012 dengan nilai pelaburan AS$22 bilion (RM68.2 bilion) yang mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, lawatan tersebut dapat mempertingkat serta memperkukuh kerjasama bagi menyumbang ke arah visi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment