My Add

Wednesday 10 July 2013

PDRM latih juruterbang sendiri

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
 
 * KHALID Abu Bakar memakaikan sayap penerbangan kepada Inspektor Ahmad Luqman Ibrahim dalam majlis pemakaian 20 sayap juruterbang dan 12 pemerhati udara PGU PDRM di Ipoh, Perak, semalam. - Bernama
IPOH, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar sejarah apabila berjaya melahirkan tujuh juruterbang helikopter berpangkat inspektor yang buat julung kalinya dilatih sepenuhnya di dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, latihan asas selama 10 bulan di bawah kursus lesen juruterbang komersial (CPL Helicopter) itu kebiasaannya dilaksanakan PDRM dengan menghantar anggotanya ke Australia.

Beliau berkata, PDRM berhasrat untuk melatih juruterbangnya sendiri kerana yakin dengan kemampuan yang ada tanpa perlu menjalani latihan di luar negara sekali gus mampu menjimatkan kos kerajaan.

"Kita telah memohon kepada kerajaan untuk melatih juruterbang sendiri. Bagi menarik minat para pegawai kita menjadi juruterbang PDRM, kita tawarkan perjawatan fleksi dari inspektor ke supritendan.

"Apabila mereka memperoleh pengalaman serta bilangan penerbangan jam mencukupi, kita akan menaikkan pangkat mereka di samping elaun khas untuk para juruterbang yang sama seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pemakaian 20 sayap juruterbang dan 12 pemerhati udara Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid dan Komandan Pusat Latihan Unit Udara PDRM Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Rafique Ramli Arifin.

Majlis pemakaian sayap juruterbang itu dianggap bersejarah kerana dianjurkan semula selepas 2003 berikutan kekurangan pesawat selain kekangan kemudahan pengajaran dengan pengawalan bajet kos yang minimum.

Namun begitu, sejak PGU memulakan aktiviti melatih juruterbang pada 1991 di bawah Lesen Juruterbang Swasta, sebanyak 85 pegawai bertauliah berjaya dilahirkan dan 64 pemerhati udara yang bertugas mencatur ketibaan, pelepasan helikopter dan kapal terbang PDRM.

Khalid dalam pada itu berkata, pihaknya telah memohon kepada kerajaan untuk menambah sekurang-kurangnya empat helikopter bersaiz sederhana selain penambahan 14 buah lagi bersaiz kecil.

Beliau berkata, melalui penambahan aset tersebut, PDRM mampu memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat terutamanya di kawasan yang sukar dilalui mengikut jalan darat selain boleh digunakan oleh jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan.

"Pada Oktober nanti, kita akan peroleh satu lagi pesawat King Air dilengkapi peralatan radar yang akan kita gunakan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) kerana bentuk muka bumi di sana memerlukan pemantauan dari udara termasuk di Sarawak," katanya.

Ketika ini, PDRM memiliki 10 buah helikopter, tiga pesawat jenis King Air, enam pesawat jenis Cessna Caravan dan lima lagi pesawat jenis Pilatus yang kini dianggap sudah dianggap terlalu lama.

PGU pula mempunyai empat pangkalan iaitu Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Ipoh, Perak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment