My Add

Tuesday 16 July 2013

PDRM serah siasatan kes sentuh sensitiviti Islam kepada SKMM

PUTRAJAYA, ISNIN, 15 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan siasatan kes pasangan Alvin Tan, 25 dan Vivian Lee, 25, yang mempersenda bulan Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, SKMM adalah agensi yang paling layak mengambil tindakan selanjutnya.

"Sekiranya ada laporan rumah terbakar, panggillah bomba untuk memadamkan kebakaran, jadi dalam kes ini di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Anggota penguat kuasa SKMM yang akan menyiasat perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bungkusan Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, polis merangka beberapa operasi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti seperti Ops Ramadan (Pencegahan Jenayah) dan Ops Selamat.

"Ops Ramadan diadakan untuk mencegah dan membanteras kejadian jenayah pada tahap maksimum, serta menentukan tiada peluang untuk perlakuan jenayah," katanya.

Menurutnya, Ops Selamat akan dilancarkan untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan musim perayaan tidak kira di jalan raya dan rumah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment