My Add

Monday 8 July 2013

Pelajar Melayu bazir RM40 sebulan

Oleh ZABRY MOHAMAD

* N.V. Subbarow menunjukkan penggunaan rokok elektronik e-Rokok semasa sidang akhbar di Jalan Masjid Negeri Pulau Pinang, baru-baru ini. - UTUSAN/ismail kamadin.
PULAU PINANG, AHAD, 07 Julai, 2013: Ketagihan rokok elektronik atau e-Rokok dalam kalangan pelajar sekolah khususnya orang Melayu kini pada tahap kritikal apabila golongan itu sanggup membelanjakan wang saku yang diberi ibu bapa semata-mata mahu membeli serta menghisapnya.

Kajian oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan setiap pelajar sekolah yang ketagih e-Rokok terpaksa menyediakan wang sebanyak RM20 hingga RM40 sebulan bagi memenuhi ketagihan mereka.

Kajian tersebut yang dilakukan ke atas 30 pelajar sekolah baru-baru ini mendapati golongan itu berkongsi duit bagi membeli cecair yang digunakan dalam e-Rokok.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, mereka terpaksa berkongsi memandangkan harga e-Rokok yang tinggi iaitu RM50 hingga RM100.

"Sebagai contoh dalam kajian kami ada sekumpulan pelajar terdiri daripada lapan orang bergilir-gilir membeli cecair yang digunakan dalam e-Rokok.

"Pelajar-pelajar ini menghabiskan satu botol cecair dalam masa dua hari. Harga satu botol adalah RM10 hingga RM20. Ini bermakna dalam satu bulan mereka membelanjakan RM150 hingga RM300.

"Setiap pelajar perlu taja sebotol setiap dua hari. Oleh itu dalam sebulan setiap pelajar keluarkan wang kira-kira RM20 hingga RM40," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini berhasrat mengusulkan cadangan supaya diharamkan pengimportan peralatan e-Rokok ke negara ini.

Cadangan tersebut dibuat selepas Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan e-Rokok yang semakin menjadi trend di negara ini terutama dalam kalangan remaja.

Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak menganggap e-Rokok sebagai terapi kepada perokok untuk berhenti merokok kerana masih belum terbukti mampu dijadikan terapi pengganti kepada nikotin.

Subbarow menjelaskan, kajian CAP di lima sekolah di negeri ini juga menunjukkan pelajar Melayu merupakan yang tertinggi menghisap e-Rokok.

Katanya, e-Rokok memudahkan perokok khususnya remaja merokok pada bila-bila masa tanpa dikesan kerana tidak mengeluarkan asap sebaliknya hanya wap. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment