My Add

Monday 8 July 2013

Pelajar tajaan Mara di Mesir selamat


 * ABD. Rahim Abd. Ghani (kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelatih terbaik dalam Majlis Graduasi GiatMara Kelantan di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, AHAD, 07 Julai, 2013: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan semua pelajar tajaannya yang menuntut di Mesir berada dalam keadaan selamat dan menasihatkan keluarga mereka di Malaysia terutama ibu bapa tidak perlu berasa risau.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Datuk Abd. Rahim Abd. Ghani berkata, masih belum ada keperluan untuk membawa pulang kesemua pelajar berkenaan, namun pihaknya tidak akan teragak-agak melakukannya sekiranya perlu.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau dengan konflik yang berlaku di Mesir kerana Mara dan kerajaan Malaysia amnya telah mempunyai pengalaman menghadapi situasi sama ketika pemberontakan yang berlaku di negara itu pada tahun 2011.

"Saya memberi jaminan semua pelajar tajaan Mara di sana dalam keadaan selamat, malah kami juga sudah menghubungi kesemua pelajar berkenaan untuk mengetahui perkembangan mereka.

"Mara juga sudah membuka bilik gerakan di sana yang dijaga oleh pegawai kami serta mendapat kerjasama sepenuhnya pihak kedutaan dan pihak berkuasa tempatan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Graduasi GiatMara Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Khidmat Pengurusan) GiatMara dan Pengarah GiatMara Kelantan, Salmuna Ayub Hamat.

Menurut beliau, ibu bapa boleh menghubungi bilik gerakan di Mesir yang beroperasi selama 24 jam di talian 03-26132117 sekiranya mahu mengetahui perkembangan anak-anak mereka.

"Memang tiada pelajar yang terjejas, semuanya selamat dan dalam keadaan baik selepas kami menghubungi mereka, pengajian juga berjalan baik manakala segelintir daripada mereka sedang bercuti semester.

"Bilik gerakan di sana beroperasi 24 jam dan apa yang merisaukan kami adalah sekiranya ibu bapa terlalu memikirkan anak mereka kerana melihat situasi yang berlaku di negara itu semakin meruncing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment