My Add

Monday 8 July 2013

Sambut baik had baru pinjaman

Oleh ZIRWATUL AKMA MOHD. ROZLAN

 * ABDUL Fattah Abdullah (kanan) bersama anak-anak Rumah Kebajikan Titian Kasih menyapu sampah di halaman rumah dalam majlis Gotong-Royong dan Ramah Mesra di Rumah Titian Kasih, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Julai, 2013: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia menetapkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun manakala pembelian rumah 35 tahun.

Presiden, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha tersebut secara tidak langsung mampu menangani masalah hutang yang dihadapi ahli-ahli koperasi tersebut di seluruh negara.

"Angkasa bersetuju dengan tindakan Bank Negara ekoran kebimbangan terhadap jumlah hutang kakitangan yang semakin merunsingkan seterusnya akan menjejaskan produktiviti mereka," katanya ketika merasmikan majlis Gotong-Royong dan Beramah Mesra di Rumah Titian Kasih, di sini hari ini.

Pengumuman penetapan tempoh pinjaman itu diumumkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kelmarin.

Langkah itu bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Dalam majlis tersebut, Angkasa turut menyumbangkan peralatan elektrik, barangan dapur serta wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM10,000 kepada rumah kebajikan itu.

Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata, program itu bagi melahirkan keprihatinan pihaknya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

"Sumbangan bukan hanya melalui kewangan tetapi kita turut boleh menyumbang dari segi kemahiran dan kepakaran dimiliki oleh ahli-ahli koperasi.

"Angkasa sudah bersetuju untuk menjadikan Rumah Titian Kasih ini sebagai rumah angkat dan akan cuba membantu semaksimum yang mungkin," katanya.

Beliau berharap apa yang dilakukan Angkasa itu akan dijadikan contoh oleh koperasi-koperasi lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment