My Add

Saturday 20 July 2013

Pemain industri pertahanan digesa contohi LTAT

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Pemain industri pertahanan di negara ini diseru mencontohi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berdasarkan kejayaan dicapai selama ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dasar LTAT yang jelas dalam menjana keuntungan merupakan rujukan terbaik industri agar kemajuan setanding di Eropah.

"Saya cakap ini bukan retorik tetapi memang kagum sehingga saya rasa apa yang dilakukan LTAT selama ini boleh dicontohi peringkat kementerian sendiri.

"Perkara ini termasuk bagaimana industri pertahanan, jabatan dan bahagian tertentu di kementerian serta syarikat berkaitan pertahanan dapat digembleng dengan matlamat lebih jelas," katanya kepada pemberita dalam majlis Penyerahan Kenderaan Berkonfigurasi Khusus kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh LTAT di sini hari ini.

Kenderaan bernilai RM400,000 yang akan diguna di Kem Pangkalan Tentera Lok Kawi, Sabah disumbangkan kepada ATM bagi membantu anggota tentera dan keluarga pasukan itu.

Yang turut hadir, Pengerusi LTAT, Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan panglima-panglima perkhidmatan.

Pada Disember 2012, LTAT mencatat rekod pencapaian paling tinggi sejak penubuhannya 40 tahun lalu yang membolehkan ahli menerima dividen dan bonus berjumlah 16 peratus.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut meminta LTAT menggembleng usaha menjana keuntungan lumayan melalui pelbagai sektor yang disediakan dalam industri tersebut.

Beliau percaya, kemampuan LTAT dalam meningkatkan pencapaiannya selama ini mampu memangkin pemain-pemain industri lain untuk meraih kejayaan sama.

"Cabaran pada masa depan adalah bagaimana kita memastikan kejayaan itu berterusan dan terus cemerlang serta bagaimana kita dapat pelbagaikan pendekatan LTAT selama ini sesuai dengan keadaan semasa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment