My Add

Saturday 20 July 2013

TITA bukan libat tamadun Islam sahaja

PUTRAJAYA JUMAAT, 19 Julai, 2013: Kementerian Pendidikan menjelaskan kandungan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) bukan mengandungi tamadun Islam sahaja malah melibatkan tamadun Melayu, Cina, India dan masa depan tamadun berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Morshidi Sirat berkata, kandungan silibus TITA bukan mengenai aspek pengajian Islam semata-mata tetapi turut menyentuh aspek ketamadunan, sejarah dan sosiologi.

"TITA telah berjalan sejak 2006 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan wajib diambil oleh semua pelajar Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

"Pelajar-pelajar tersebut tidak menghadapi sebarang masalah malahan ada pelajar bukan Islam memperoleh keputusan cemerlang," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Morshidi berkata, penawaran subjek tersebut mendedahkan pelajar mengenai tamadun-tamadun di persekitaran negara yang telah menyumbang kepada pembentukan jati diri, sahsiah dan sistem nilai amalan pada masa kini.

"Oleh itu kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan TITA tidak wajar diwajibkan kepada pelajar bukan Islam sepatutnya tidak timbul.

"Ini kerana TITA juga diwajibkan kepada pelajar Islam yang turut mempelajari tamadun Cina, India dan masa depan tamadun," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kebimbangan pihak tertentu yang berpandangan TITA berunsur Islam dan tidak sesuai bagi pelajar bukan Islam adalah tidak tepat.

"Sebaliknya dengan adanya TITA pelajar-pelajar diberi peluang dan ruang untuk lebih mengenali tamadun kumpulan etnik di Malaysia.

"Sistem pendidikan luar negara seperti Amerika Syarikat juga menawarkan mata pelajaran wajib di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing untuk diambil oleh pelajar tempatan dan antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pilihan TITA sebagai mata pelajaran wajib tidak boleh dianggap satu isu tetapi sebenarnya merupakan tindakan tepat untuk memupuk semangat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan serta memacu pembangunan negara. = UTUSAN 

No comments:

Post a Comment