My Add

Monday 8 July 2013

Pembangkang Mesir bertelagah


* SEKUMPULAN penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi melakukan solat jenazah di Kaherah kelmarin.
KAHERAH, AHAD, 07 Julai, 2013: Pemilihan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei sebagai pemangku Perdana Menteri Mesir menimbulkan pertikaian dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini menentang pemerintahan Presiden Mohammed Morsi.

Agensi berita rasmi MENA melaporkan pelantikan ElBaradei oleh pemangku Presiden, Adly Mansour tetapi pejabatnya kemudian menafikan bahawa keputusan muktamad telah dibuat mengenai isu tersebut.

Pelantikan ElBaradei ditentang oleh golongan Salafi yang menyokong tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi pada Rabu lalu.

Terdahulu, jurucakap Presiden, Ahmed Al-Muslimani berkata, ElBaradei yang merupakan bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merupakan calon paling layak bagi jawatan tersebut.

"Beliau berada di tempat teratas senarai pendek kami," katanya.

Namun, selepas rundingan pusingan kedua berakhir semalam seorang ahli politik kanan yang mewakili pengikut Salafi, Nader Bakkar memberitahu bahawa mereka tidak akan menerima ElBaradei.

"Pendirian kami mudah. Terdapat dua sebab kami menolak ElBaradei iaitu pertama, kita perlu tokoh teknokrat untuk memulihkan ekonomi dan menamatkan polarisasi rakyat Mesir," katanya.

"Kedua, kita tidak boleh bercakap mengenai perdamaian kebangsaan seterusnya melantik seteru Morsi sebagai Perdana Menteri," tambahnya.

Morsi yang ditahan sejak Rabu lalu telah menyeru para penyokongnya supaya mempertahankan pemilihannya sebagai Presiden Mesir yang sah dalam ucapan yang direkodkan dan disiarkan sejurus selepas kejatuhannya.

Dalam pada itu, keganasan yang bermula pada Jumaat lalu masih berterusan dengan bandar raya ini dan Iskandariah paling teruk terjejas.

Pertumpahan darah berterusan kelmarin dengan sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang paderi Kristian Qibti di Semenanjung Sinai.

Kumpulan militan di Sinai turut meletupkan saluran paip gas ke Jordan buat kali pertama sejak hampir setahun lalu.

Pemerintahan setahun Morsi tergugat selepas beliau dituduh memberikan kuasa kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan gagal memulihkan ekonomi.

Morsi memenangi pilihan raya Presiden Mesir selepas kejatuhan diktator Hosni Mubarak pada 2011 dengan sokongan Ikhwanul Muslimin.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan bahawa AS tidak menyokong mana-mana parti politik di Mesir selepas penyingkiran Morsi.

"AS menolak dakwaan palsu disebarkan oleh beberapa pihak bahawa kami sedang bekerjasama dengan parti politik atau pergerakan tertentu untuk menentukan hala tuju proses peralihan kuasa di Mesir," katanya.

"Hanya rakyat Mesir yang berhak menentukan masa depan negara mereka," tambah Obama. - AFP/KOSMO!

No comments:

Post a Comment