My Add

Monday 8 July 2013

Tubuh jawatankuasa khas kaji sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Julai, 2013- Kerajaan diminta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji keberkesanan sekolah satu aliran sekali gus menangani jurang antara kaum yang mula dirasai dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Datuk Hasan Malek berkata, kewujudan sekolah pelbagai aliran dilihat bukan sahaja mengancam usaha menyatupadukan rakyat malah sedikit sebanyak mencurigai kewibawaan institusi pendidikan di Malaysia.

Katanya, tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan adakalanya keterlaluan serta bersifat rasis oleh pertubuhan tertentu seperti Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) merencatkan pencapaian falsafah pendidikan negara yang telah termaktub sekian lama.

Beliau berkata, toleransi daripada pihak tertentu terutamanya orang Melayu sentiasa ditagih sedangkan di pihak lain, hal ini tidak berlaku sekali gus menyebabkan agenda pendidikan tidak dapat mengikut landasan yang dikehendaki.

"Gagasan amat yakin perpaduan merupakan alat yang boleh menyelesaikan banyak masalah, tetapi apakah dengan meneruskan kewujudan sekolah vernakular ini mampu mewujudkan perpaduan yang kita harapkan," katanya.

Hasan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Kali Ketiga Gagasan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Presiden Gagasan, Datuk Fadillah Yusof merangkap Menteri Kerja Raya.

Menurut Hasan lagi, sekolah merupakan ejen pewarisan budaya dan ilmu yang penting bagi masyarakat, namun amat dikesali apabila kini institusi pendidikan itu seolah-olah tidak lagi menjadi pemangkin kepada proses menyemai semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar.

Dalam masa sama, Hasan mengingatkan generasi muda agar jangan mudah terpengaruh dengan sebarang aktiviti perhimpunan dan demonstrasi yang kononnya dilakukan atas tiket keadilan walaupun amat jelas bertentangan dengan undang-undang.

"Hari ini, walaupun generasi muda semakin terbuka dan bebas tetapi mereka tidak harus melupakan asal-usul tanah tumpah darah.

"Dalam hal ini, pendidikan merupakan saluran yang baik untuk mengembalikan kesedaran itu kerana kita tidak mahu segala-gala yang telah dibina demi perpaduan dan keharmonian rakyat menjadi slogan dan retorik sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment