My Add

Thursday 18 July 2013

Penahanan tanpa bicara perlu

PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013: Penahanan tanpa bicara perlu dimasukkan ke dalam undang-undang baharu yang bakal menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948 bagi memastikan ketenteraman negara terus terjamin.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara tersebut perlu kerana menjadi benteng kepada negara dalam membanteras mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, kaedah penahanan tanpa bicara telah terbukti berjaya semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan dan perlu dikekalkan bagi memastikan perkara itu menjadi 'mimpi ngeri' kepada pihak-pihak berkaitan.

"Penahanan tanpa bicara ini perlu dikekalkan, tiada sebab mengapa perlu dikecualikan dalam undang-undang baharu yang akan digubal bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, Perkasa juga berpendapat Akta Hasutan 1948 perlu dipertahankan supaya tidak timbul permasalahan kelak jika berlaku situasi yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Katanya, akta tersebut sewajarnya dikekalkan supaya tidak menerima nasib sama dengan ISA yang telah pun dimansuh.

"Banyak kejadian jenayah tidak mampu dikawal, selain tidak dapat mengambil tindakan ke atas mereka yang menimbulkan masalah berhubung keselamatan akibat pemansuhan ISA itu.

"Jika kita tengok selepas kerajaan hapuskan ISA, banyak masalah kita hadapi sekarang, jadi kita mesti ada undang-undang bagi menjamin keselamatan orang ramai," katanya.

Dalam pada itu Perkasa juga mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendedahkan hasil perbincangan kementerian itu dengan 11 negara lain dalam pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Rakyat perlu tahu dan ingin tahu setakat mana perbincangan tersebut dilakukan, sehubungan itu kementerian perlu mendedahkannya kepada umum bagi mengelakkan perasaan tidak senang rakyat dalam memikirkan masa depan mereka," katanya - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment