My Add

Friday 26 July 2013

Peniaga gagal patuhi kawalan harga boleh dipenjara: Hasan Malek

KLANG, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Peniaga dan pemborong yang masih berdegil untuk mematuhi peraturan pelaksanaan kawalan harga sempena musim perayaan ini akan dikenakan denda dan boleh dipenjara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek, berkata tindakan tegas terhadap peniaga dan pemborong itu adalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kementerian tidak lagi akan berkompromi terhadap peniaga dan pemborong yang masih berdegil mematuhi peraturan.

"Kita tidak pilih bulu...peniaga dan pemborong yang ingkar dengan menjual barangan kawalan lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan bakal dikenakan denda dan penjara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Jalan Meru, Klang, di sini, hari ini.

Hasan berkata, skim kawalan harga yang dikuatkuasa bermula hari ini sehingga 11 Ogos itu bertujuan mengekang berlaku penyelewengan harga sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

"Dalam skim ini, sebanyak 20 jenis barang telah dikategori sebagai barang kawalan termasuk ayam, daging lembu, ikan kembung, cili merah, bawang, kubis, telur, tomato, ubi kentang, kacang tanah dan kelapa.

"Barang-barang ini kita tidak letakkan harga siling mengikut suka-suka hati tetapi mengikut pada situasi semasa dan ia dilihat fleksibel...penetapan harga-harga (siling) ini juga masih memberi keuntungan kepada pembeli dan penjual," katanya.

Hasan berkata, pihak penguatkuasa kementerian akan menjalankan pemantauan lebih kerap di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani.

"Seramai 1,845 pegawai penguatkuasa dan 1,071 pegawai pemantau harga diarah untuk melakukan pemantuan harga di seluruh negara.

"Pengguna juga digalak untuk membuat aduan kepada kami sekiranya terdapat peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kawalan terutama menjelang Hari Raya," katanya.

Hasan turut menasihatkan peniaga supaya mempamerkan tanda harga jelas untuk setiap barangan termasuk tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barang kawalan untuk memudahkan pengguna membuat pilihan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment