My Add

Thursday 4 July 2013

Penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu diperhalusi

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Pertikaian isu berhubung membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam perlu diperhalusi.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Abdul Aziz berkata, hal ini kerana penukaran agama seorang kanak-kanak di bawah umur tidak boleh ditentukan oleh satu pihak sahaja.

“Saya sebagai seorang Muslim dan peguam merasakan perkara itu tidak selesa. Walaupun mengikut Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 bahawa salah seorang daripada ibu atau bapa boleh menentukan agama kanak-kanak, saya fikir ini tidak adil.

“Malah sejak dilahirkan, agama seseorang anak telah ditentukan dan mereka telah dididik mempelajari ilmu sesuatu agama pada peringkat awal lagi. Jadi, jika dikatakan kanak-kanak tidak mempunyai agama, ia adalah tidak betul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja di sekitar Kuala Lumpur dengan menaiki perkhidmatan bas pelancongan, KL Hop On Hop Off bersama wakil-wakil media hari ini.

Seksyen 107 (b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.

Peruntukan seksyen itu dilihat oleh banyak pihak sebagai bertentangan dengan keputusan Kabinet 23 April 2009, iaitu agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau secara berpihak.

Jelas Mohamed Nazri, jika perkara itu berterusan, dibimbangi akan membawa kepada kerumitan terutama apabila kanak-kanak sudah dewasa.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan dalam satu kenyataan di sini hari ini memohon rang undang-undang itu dipinda dengan memansuhkan Seksyen 107(b) rang terbabit.

Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 107B pada asasnya tidak adil kerana menafikan hak penjagaan ibu bapa terhadap kebajikan kanak-kanak.

Malah, kanak-kanak terbabit juga dilihat tidak mendapat hak perlindungan mereka iaitu menerima bimbingan dari kedua-dua ibu bapa untuk kesejahteraan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment