My Add

Thursday 4 July 2013

Najib: Generasi muda perlu buat perubahan secara produktif

 * NAJIB menyampaikan kad keahlian anggota sukarelawan 1Malaysia for Youth (iM4U) kepada wakil pelajar dalam majlis pelancaran Pusat Outreach antarabangsa pertama iM4U di Rumah Malaysia di London, semalam. - BERNAMA
LONDON, RABU. 03 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan muda membuat perubahan untuk masyarakat dan negara tetapi mereka perlu memastikan apa yang dilakukan itu menjadi sesuatu yang membawa kebaikan.

Beliau meminta mereka melakukan perubahan dengan cara yang produktif dan membina.

“Anda boleh buat perubahan dengan turun (berdemonstrasi) di jalanan, tetapi adakah ia membawa kepada sesuatu yang menguntungkan kepada masyarakat dan negara," kata Najib ketika berucap melancarkan Pusat Outreach iM4U United Kingdom di sini malam tadi.

Pelancaran Pusat Outreach antarabangsa pertama iM4U itu diadakan di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong di Hampstead, utara London sempena lawatan kerja empat hari Najib ke London.

Najib memberitahu, ketika beliau melancarkan iM4U, singkatan kepada 1Malaysia For Youth tahun lalu, beliau ingin melihat wujud sebuah gerakan besar-besaran yang membakar semangat anak-anak muda Malaysia untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Belia boleh membuat perubahan, anda boleh mengubah hidup orang lain melalui gerakan sukarelawan, kerana anak-anak muda memiliki idealisme.

“Sekiranya kita tidak menghidupkannya, jika kita tidak memercikkan semangat itu, idealisme akan hilang," kata Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U.

Najib menyeru supaya idealisme itu disemarakkan melalui aktiviti-aktiviti kesukarelaan.

Beliau menambah: “Ketika iM4U ditubuhkan, saya mengimpikan suatu hari nanti iM4U akan menjadi besar.

“Saya mengimpikan iM4U akan menjadi global. Saya mengimpikan belia negara ini dan belia negara lain akan berganding tangan atas semangat berkhidmat untuk menjayakan ideal yang lebih besar daripada diri sendiri, bagi mengubah masyarakat atas semangat kesukarelaan".

Menurut Najib, Pusat Outreach antarabangsa pertama iM4U di United Kingdom yang dilancarkan itu akan diperluaskan ke Indonesia, Mesir, Australia dan Amerika Syarikat.

Beliau menasihatkan para pelajar dan belia supaya melibatkan diri dalam aktiviti sukarela kerana ia akan menyumbang kepada karakter, identiti dan prospek masa depan mereka.

“Jika saya dapat resume orang yang hendak bekerja dengan organisasi saya, dan saya tengok orang itu terlibat dalam kerja-kerja sukarela, misalnya menjadi sebahagian daripada gerakan iM4U, saya tahu orang itu adalah seseorang yang berbeza, dan orang itu kalau diambil tentulah menjadi aset kepada organisasi saya," katanya.

iM4U menawarkan program kesukarelaan meliputi pembangunan belia, keusahawanan sosial, khidmat masyarakat, sukan, kesenian, kebudayaan dan inovasi.

Ia digerakkan melalui Dana Sukarelawan 1Malaysia (Dre1M) sebanyak RM130 juta yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Setakat ini, iM4U telah mempunyai 100,000 orang sukarelawan di seluruh negara. Sejak Januari 2013, iM4U telah memulakan kira-kira 500 aktiviti sukarelawan serta 135 projek melalui rangkaian Pusat Outreach.

Dalam ucapannya, Najib memberitahu, beliau dahulu juga pernah menjadi penuntut di United Kingdom dan beliau tahu bahawa para pelajar mempunyai masa terluang, khususnya ketika cuti musim panas dan cuti-cuti umum, yang boleh digunakan untuk aktiviti sukarela.

Kini melalui Pusat Outreach i4U di United Kingdom, kira-kira 15,000 pelajar Malaysia di United Kingdom dan 2,000 lagi di Ireland boleh menggunakan dana yang disediakan oleh iM4U untuk program-program kesukarelaan.

Program-program iM4U di United Kingdom dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland (UKEC), iaitu pertubuhan induk persatuan-persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment