My Add

Tuesday 23 July 2013

Penularan Syiah lemahkan umat Islam - Dr. Mahathir

ALOR SETAR, ISNIN, 22 Julai, 2013; Pengembangan ajaran Syiah di negara ini akan memecahbelahkan lagi umat Islam yang pada ketika ini sudahpun lemah kerana perbezaan fahaman politik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, ajaran berkenaan perlu disekat agar tidak menular dalam masyarakat Islam kerana amat berbahaya sehingga boleh mencetuskan permusuhan seperti mana berlaku di beberapa negara luar.

"Kita tidak menyoal agama mereka tetapi yang kita tahu apabila ada fahaman Sunni dan Syiah, maka selalu berlaku permusuhan sehingga berperang dan membunuh, ini boleh dilihat berlaku di beberapa buah negara seperti Pakistan serta Iran.

"Sebaliknya, di sini kita bernasib baik kerana kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, orang Sunni dan pengikut Imam Shafie," katanya kepada pemberita ketika membeli-belah di Pekan Rabu di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan Kedah yang akan mewartakan sekatan penyebaran Syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya di negeri itu.

Menurut Dr. Mahathir, sepatutnya tidak ada perbezaan fahaman agama dalam kalangan umat Islam Malaysia yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kata beliau, jika fahaman agama Islam yang berbeza tidak disekat daripada berkembang dalam negara ini, akan wujud pembahagian yang menyaksikan pengikut fahaman masing-masing berpecah.

"Kita tahu kalau berpecah, persaudaraan akan hancur dan tidak lagi hidup sebagai umat Islam, sedangkan orang Islam bersaudara,'' katanya.

Beliau juga berharap negeri-negeri yang belum mewartakan sekatan penyebaran Syiah supaya mempertimbangkan untuk berbuat demikian bagi memastikan kesepaduan umat Islam.

"Jika orang Islam berpecah, mereka akan jadi lemah. Sekarang ini sudah lemah sebab perpecahan politik, datang satu lagi perpecahan maka bergaduhlah kita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment