My Add

Friday 5 July 2013

Perak timbang panggil pulang 1,000 pelajar di Mesir

IPOH, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Perak akan membawa pulang kira-kira 1,000 pelajar dari negeri ini yang sedang menuntut di Mesir sekiranya perlu, ekoran pergolakan di negara tersebut yang menyaksikan Presiden Dr. Mohammed Mursi digulingkan semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pada masa ini kerajaan negeri sedang memantau rapi situasi di Mesir termasuk keadaan pelajar dari negeri ini.

Katanya, pihak kerajaan negeri juga telah menasihatkan semua pelajar dari Perak supaya tidak menyertai rusuhan dan tunjuk perasaan di negara berkenaan.

"Kita sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Wisma Putra untuk memantau keadaan di sana dan jika perlu, kita akan bawa pelajar-pelajar kita pulang," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup acara konvoi bermotosikal di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Tentera Mesir semalam menggulingkan dan menahan Mursi selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang maut tercetus di negara ini.

Menteri Pertahanan negara itu, Panglima Tentera Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan penggulingan Mursi di televisyen kerajaan ketika polis mula menahan penolong-penolong kanan Presiden dan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimin. - UTUSAN ONLINE  

No comments:

Post a Comment