My Add

Monday 8 July 2013

Pertingkatkan program keagamaan - Sultan Mizan


 * SULTAN Mizan Zainal Abidin menganugerahkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk kepada Harun Hasan pada Majlis Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU, AHAD, 07 Julai, 2013: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar kerajaan negeri terus mempertingkatkan program bersifat kerohanian agar pembangunan akademik dan agama berkembang seiring ke arah kecemerlangan sebagaimana yang diharapkan.

Titah baginda, pendekatan perlu dilakukan bermula dari usia awal ke arah melahirkan generasi anak negeri yang kukuh imannya, mulia akidah dan teguh pegangan dalam menghadapi masa depan yang makin mencabar.

Titah baginda, pencapaian akademik semata-mata tidak boleh dijadikan penanda aras bagi menentukan sesuatu pencapaian.

Oleh itu, baginda berharap peruntukan pengurusan dipertingkatkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) agar aktiviti syiar Islam, pengukuhan akidah, pemurniaan akhlak, pembangunan pendidikan pondok dan kekeluargaan dapat dikembangkan.

"Sokongan pentadbiran negeri kepada penstrukturan semula institusi pentadbiran Islam di Terengganu amatlah beta puji kerana melalui kerjasama erat ini kesejahteraan umat Islam akan dapat dipelihara dengan lebih efektif secara bersama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-51 baginda di Istana Syarqiyyah, Bukit Cendering dekat sini hari ini. Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Terdahulu, sempena sambutan itu juga baginda berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dengan diiringi Sultanah Nur Zahirah serta Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Bentara Raja dan Toh Puan Seri Tengku Halifah Kasnihah Tengku Su.

Baginda bertitah lagi, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi anak negeri yang berilmu.

Titah baginda, adalah menjadi harapan agar sebahagian daripada mereka yang telah berjaya dalam pengajian dan lapangan kerjaya masing-masing, pulang berkhidmat dan menabur bakti kepada negeri ini.

"Beta mahu agar anak negeri ini yang berjaya dan berkebolehan dalam bidang masing-masing supaya pulang memberi khidmat kepada negeri Terengganu yang tercinta ini," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah lagi, aktiviti ekonomi berasaskan pertanian juga perlu dipertingkatkan lagi kerana negeri itu memiliki tanah subur yang luas dan berpotensi besar untuk dimajukan.

"Masih ramai rakyat beta yang terlibat dalam aktiviti pertanian, justeru itu, dasar Pertanian Negeri seharusnya dirangka dengan mengambil kira pendekatan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh negara-negara pertanian lain yang maju.

"Aktiviti nilai tambah dalam sektor pertanian hendaklah dipergiatkan dari semasa ke semasa," titah baginda.

Dalam usaha memajukan negeri, baginda berpendapat Terengganu tidak boleh melaksanakan secara bersendirian dan seharusnya memanfaatkan peranan agensi-agensi Persekutuan melalui peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment