My Add

Thursday 25 July 2013

Pertubuhan Syiah salahi undang-undang

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Pertubuhan Syiah Malaysia diisytiharkan sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan tegas itu adalah rentetan daripada gerakan aktif pertubuhan berkenaan sehingga memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perisytiharan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandukan kepada peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Dalam perkembangan berkaitan Abdul Rahim berkata, pengikut-pengikut Syiah di Malaysia sebelum ini pernah memohon mendaftarkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia negeri Melaka pada 18 Jun 2011.

Jelasnya, permohonan itu telah ditolak oleh pihak jabatan pada 4 Ogos 2011 dan satu rayuan dikemukakan kepada pihak Menteri Dalam Negeri, namun ditolak lagi pada 31 Oktober 2011.

"Walau bagaimanapun pertubuhan yang tidak diluluskan ini telah bergerak aktif sehingga memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan suasana keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, dakwaan pengikut Syiah berjumlah 300,000 sehingga sejuta orang oleh Mohd. Kamil Zuhairi Abd. Aziz yang dipercayai ketua kumpulan Syiah Malaysia baru-baru ini adalah kurang tepat berdasarkan siasatan yang telah dijalankan.

"Jumlah terbabit adalah kurang daripada itu kerana siasatan mendapati Syiah Ja'fariah yang paling ramai pengikutnya di negara ini hanya dianggarkan berjumlah 1,500 sahaja. Namun kita akui jumlah itu semakin meningkat," katanya.

Kata sumber itu, pihak berkuasa turut mengesan beberapa pusat kegiatan Syiah yang terletak di beberapa buah negeri, dipercayai terlibat menyebarkan fahaman Syiah.

"Dua markas utama mereka terletak di Selangor iaitu di Taman Sri Gombak di Gombak dan sebuah premis rumah kedai yang terletak di Ukay Perdana, Selangor. Markas ini dijadikan pusat aktiviti dan lokasi untuk mendalami ilmu Syiah.

"Di negeri-negeri lain kita turut mengesan tiga markas yang terletak di Pendang, Kedah; Kota Bharu, Kelantan serta Taiping, Perak," kata sumber itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment