My Add

Monday 22 July 2013

Peruntukan besar untuk semarak syiar Islam di Terengganu - Jamil Khir

BESUT, AHAD, 21 Julai, 2013: Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM45.5 juta kepada Terengganu khusus untuk membayar elaun imam, guru kelas al-Quran dan fardhu ain (KAFA), bilal dan guru takmir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bagi membantu Majlis Agama Islam Negeri Terengganu memastikan kebajikan golongan yang menyemarakkan syiar agama itu terpelihara.

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada perjuangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menambah pendapatan golongan tersebut sekali gus mengeluarkan mereka daripada garisan kemiskinan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM34.9 juta untuk elaun guru KAFA, RM2.2 juta bagi guru takmir, imam (RM9.3 juta) dan selebihnya bilal.

"Jakim telah berjuang bukan hanya memartabatkan golongan ini tetapi aspek ekonomi dengan menambah pendapatan, kalau dua tahun dulu elaun imam hanya RM450 tetapi kini dinaikkan kepada RM800, pendapatan sebelum ini adalah pada paras kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Multaqa Guru KAFA, Guru Takmir, Imam dan Bilal di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah ILIM, Mokhtar A. Rahman.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, Ramadan sewajarnya dijadikan bulan untuk perpaduan dalam kalangan umat Islam biarpun berbeza fahaman politik.

"Sebab jika orang melihat ada perpecahan dalam kalangan kita, tentu ada 'lubang' yang boleh digunakan untuk menyerang kembali umat Islam.

"Jadi kita mengharapkan titik pertemuan Ramadan dan hari raya yang mendatang tidak menjadikan umat Islam berpisah dan terpecah tetapi semangat Ramadan menyatupadukan seluruh kelompok umat Islam walaupun kita berbeza pandangan politik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment