My Add

Monday 22 July 2013

Pihak keselamatan sediakan 'kubur' jika pengganas Kiram berani ceroboh

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Ancaman gelombang kedua serangan kumpulan pengganas Kiram memang sentiasa wujud kerana kumpulan tersebut mempunyai motif jelas iaitu mahu membalas dendam ke atas pihak keselamatan negara.

Walau bagaimanapun, sumber keselamatan negara menafikan dakwaan kononnya gelombang kedua serangan akan berlaku Ogos ini kerana penemuan surat yang didakwa ditulis kumpulan pengganas Kiram hanya cubaan permainan psikologi.

Menurut sumber itu lagi, berdasarkan risikan pihak keselamatan, kemampuan kumpulan pengganas Kiram melancarkan serangan terbaharu terhad kerana masalah kekurangan senjata dan dana.

Selain itu, jelas beliau, sebarang cubaan kumpulan pengganas Kiram menceroboh pantai timur Sabah bakal berdepan tindakan agresif tentera Filipina selain kumpulan terbabit perlu berdepan pihak keselamatan negara.

"Kita akui berdasarkan risikan memang wujud ancaman tetapi kemampuan mereka kali ini agak terbatas.

"Apa pun kita sudah cukup bersedia. Kalau mereka tetap mahu datang, kita memiliki sejumlah tanah yang cukup luas untuk dijadikan 'kubur' kepada mana-mana penceroboh negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, khabar angin ancaman gelombang kedua serangan pada Ogos ini yang dibuat menerusi surat kononnya ditulis kumpulan pengganas Kiram adalah tidak benar.

Namun, beliau menegaskan, pihak keselamatan Malaysia yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah cukup bersedia menghadapi sebarang kemungkinan daripada kumpulan pengganas Kiram.

Khabar angin itu muncul selepas penemuan surat ancaman tersebut dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam dilaporkan berkata sudah mengenal pasti pihak yang menulis surat terbabit. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment