My Add

Sunday 21 July 2013

PKS Malaysia lahirkan kebimbangan mengenai TPPA

KOTA KINABALU, SABTU, 20 Julai, 2013:: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia telah melahirkan kebimbangan yang mereka akan kerugian sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan, demikian menurut sekumpulan Ahli Parlimen Malaysia, hari ini.

Pengerusi Ahli Parlimen Jawatankuasa Caucus untuk TPPA, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata berdasarkan kepada maklumat yang dikumpulkan daripada pemegang yang berkepentingan, PKS mungkin berhadapan dengan masa depan yang suram dengan TPPA.

"Apabila syarikat multinasional dari negara maju turut serta atau melabur dalam negara kita, mereka datang dengan wang yang banyak. Jadi, PKS akan ketinggalan," kata beliau kepada pemberita di luar perundingan TPPA pusingan yang ke-18 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad berkata Malaysia yakin yang kumpulan perunding, mewakili 12 negara termasuk pendatang baru Jepun, tidak mengetepikan kepentingan PKS kerana kebimbangan itu turut dikongsi oleh negara peserta yang lain.

Selain Malaysia dan Jepun, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam turut menyertai perundingan itu, yang bermula pada 15 Julai.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, jawatankuasa Caucus itu telah bekerja keras mengumpul maklumat mengenai isu yang berkaitan dengan kepentingan Malaysia agar ia boleh dibincangkan di Kabinet.

Sementara itu, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh berharap perunding Malaysia akan mengemukakan isu yang hampir dengan Sabah dan Sarawak seperti hak milik adat dan pribumi dan isu-isu alam sekitar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment