My Add

Friday 26 July 2013

PNS lakukan transformasi di kalangan peniaga kecil

KUALA PILAH, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), iaitu salah satu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mengambil langkah melakukan transformasi perniagaan di kalangan peniagaan kecil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, melalui transformasi perniagaan itu, PNS akan mengenal pasti perniagaan kecil dan membantu menaik taraf perniagaan mereka dengan memperkenalkan konsep perniagaan moden.

"Melalui program ini, kita berharap para usahawan kecil akan menjadi lebih kompetitif dan sistematik untuk menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan secara berkesan."

"Selain itu, kita juga berharap ia akan menambah daya saing di pasaran dan seterusnya membangunkan perniagaan tersebut sebagai francais," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di Masjid Kariah Taman Desa Anggerik, Juasseh dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah anggota DUN Juasseh, Datuk Mohamad Razi Kail; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Hasan, yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, setakat ini PNS telah mengenal pasti lima usahawan (pra-francaisor) di bawah program modenisasi peruncitan dan untuk tahun ini, PNS menyasarkan 10 usahawan di dalam program tersebut.

"PNS amat mengalu-alukan peniaga kecil yang berkonsepkan perkhidmatan, seperti pembuat kunci, 'shoe cobler', tukang baiki paip dan elektrik untuk menghubungi PNS bagi tujuan program modenisasi peruncitan ini," katanya.

Sementara itu, katanya, daripada RM8 juta yang diperuntukkan sejak dua tahun lepas di bawah skim pembiayaan kecil francais (mikro francais), setakat ini, PNS telah membiayai pembiayaan RM5.7 juta kepada 213 francaisi untuk 24 model perniagaan mikro francais.

Katanya, sektor yang banyak memohon bagi skim itu ialah peruncitan, perkhidmatan, makanan dan minuman serta pendidikan.

"Had maksimum penbiayaan di bawah skim ini ialah 90 peratus daripada pakej francais yang tidak melebihi RM50,000 dengan tempoh bayaran balik selama 60 bulan dengan yuran perkhidmatan sebanyak 3.0 peratus setahun," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment