My Add

Monday, 1 July 2013

Pas boikot PRK Kuala Besut?

Oleh KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Adakah Pas akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng?

Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti.

Menurut Mustafa, parti itu akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

“Pimpinan Pakatan kena berbincang dahulu betul-betul kalau hendak memboikot (PRK DUN Kuala Besut), apa-apa keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor hari ini mencadangkan Pas untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Kuala Besut menyaksikan kekosongan selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Menurut Mustafa, biarpun cadangan untuk memboikot dikemukakan, Pas akan tetap membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

“Bagi Pas, kita akan tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, itu tanggungjawab kita dengan dibantu rakan-rakan parti pakatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment