My Add

Tuesday 23 July 2013

Ragut tujuh nyawa sejak 2003

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

MELAKA, ISNIN, 22 Julai, 2013: Sebanyak tujuh nyawa menjadi korban Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di sini, sepanjang 10 tahun lalu termasuk yang terbaharu empat kanak-kanak dalam kejadian petang semalam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Seri Krubong, Basiron Abdul Rahman berkata, tiga kejadian yang mengorbankan penduduk di sungai tersebut berlaku antara 2003 hingga 2005.

Menurutnya, beliau tidak menyangka kejadian sebelum ini berulang semula petang semalam yang meragut nyawa empat kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun ketika kesemua mangsa sedang mencari kepah.

"Sangat menyayat hati menemukan mayat empat kanak-kanak itu yang berada tidak jauh antara satu sama lain, seolah-olah mereka saling membantu.

"Usaha mencari kesemua mangsa buntu selepas 30 minit tetapi setelah saya melaungkan azan sebanyak tiga kali barulah mayat mangsa pertama iaitu Mohamad Nazimi Fadzli ditemui kira-kira pukul 5.50 petang," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Basiron berkata, tiga lagi mangsa yang ditemui selepas itu ialah Hanis Balkis Fadzli pada pukul 5.55 petang, Athafiz Amin (6.01 petang) dan Radziatul Nadia Rosnan (6.02 petang).

Katanya, sebuah rumah teres yang tidak berpenghuni berdekatan sungai itu menjadi laluan utama orang ramai termasuk kanak-kanak ke lokasi kejadian yang mengorbankan empat kanak-kanak tersebut.

Katanya, jalan pintas itu memudahkan sesiapa sahaja yang ingin ke sungai tersebut dalam masa yang singkat berbanding terpaksa melalui jalan jauh untuk sampai ke lokasi tersebut.

Sementara itu, tinjauan di tempat kejadian mendapati beberapa kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah menutup rumah teres yang tidak berpenghuni sebagai laluan utama orang ramai ke sungai berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment