My Add

Saturday 20 July 2013

Remaja langgar pegawai polis trafik di Kuala Besut akan didakwa

KUALA BESUT, SABTU, 20 Julai,2013: Remaja berusia 19 tahun yang dikatakan merempuh seorang pegawai polis trafik sehingga kehilangan kaki kanannya Rabu lalu akan didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut dan akan merujuknya kepada Timbalan Pendawaraya secepat mungkin.

"Kita telah menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan hanya menunggu arahan untuk pendakwaan, sebaik menerima arahan daripada Timbalan Pendakwaraya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Remaja itu diikat jamin sebanyak RM2,000 Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, yang dipinjam dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk bertugas sempena pilihan raya kecil Kuala Besut, parah setelah motosikal berkuasa tinggi polis yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu remaja berkenaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Alor Peroi.

Ekoran itu kaki kanan beliau terputus dari paras bawah lutut.

Beliau kini dilapor stabil dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di Kota Bharu, Kelantan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment