My Add

Sunday 28 July 2013

Saya hanya mencari kebenaran - Bapa

IPOH, SABTU, 27 Julai, 2013: Bapa kepada seorang pemuda yang ditemui mati tersepit pada palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya 20 Julai lalu, membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya.

Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, membuat laporan di Balai Polis Manjoi dekat sini pada pukul 11.55 pagi ini bagi menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat anaknya, Sherol Aizan, 27.

"Saya mengesyaki anak saya dipukul. Ini kerana terdapat kesan jerutan di leher selain mengesyaki pergelangan tangan kiri dan tulang rusuk kanan anak saya juga patah.

"Saya dimaklumkan punca kematian kerana sesak nafas akibat tersepit sedangkan daripada pandangan zahir, kecederaan pada mayat mangsa tidak sepadan dengan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Sherol Aizan, 27, ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Mangsa yang merupakan anak sulung dipercayai masuk dengan membuka tingkap di bahagian sinki dapur rumah jenis teres setingkat itu yang hanya selang beberapa buah dari kediaman keluarganya.

Menurut Mohd. Damanhuri, dia bercadang mendapatkan perintah mahkamah Isnin ini bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan terhadap mayat anaknya.

"Saya perlukan keadilan terhadap kematian Sherol Aizan. Saya mencari kebenaran dan bukannya mahu menegakkan kesalahan dia. Saya cuma mahu mengetahui sebab-sebab kematian anak saya.

"Sekiranya keputusan bedah siasat itu juga sama seperti sebelumnya, saya masih tidak pasti apa tindakan seterusnya yang akan diambil," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment