My Add

Wednesday 24 July 2013

Sistem pekerjaan efektif sumbang budaya selamat

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Syarikat pemaju dan kontraktor yang hendak membida mana-mana kontrak pembinaan perlu menyediakan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (PKKP) bagi menjamin keselamatan pekerja mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, cadangan tersebut bagi memastikan risiko kemalangan di tapak pembinaan dapat dikurangkan sekali gus menjurus kepada amalan kerja selamat.

Jelasnya, pelaksanaan sistem pengurusan KKP sangat penting kepada kontraktor utama dan subkontraktor kerana beberapa elemen dalam sistem pengurusan KKP atau dikenali OSH management system seperti MS1722:2011 OSH managements - Requirements berkaitan perolehan, Pengurusan Kontraktor dan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Sudah tiba masanya bagi kontraktor yang hendak membida kontrak pembinaan menyediakan polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan berbanding memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Tambah beliau, semua syarikat pemaju dan kontroktor perlu mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap pematuhan keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan tersebut.

"Rasa hormat itu penting kerana sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif akan menyumbang ke arah mencapai budaya keselamatan yang menyeluruh dalam industri pembinaan negara," ujarnya.

Jelasnya, konsep keselamatan berasaskan tingkah laku perlu dipupuk dalam industri pembinaan agar setiap individu menganggap keselamatan sebagai tanggungjawab mereka.

"Bagi mereka yang terlibat dalam industri pembinaan, sifat ketelitian terhadap aspek keselamatan perlulah dijadikan nilai teras kerana setiap individu berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan jika kita berkompromi dalam soal keselamatan," tegasnya.

 "Realiti ini mesti diterap ke dalam minda setiap individu di tempat kerja, agar kecuaian dan keselamatan tidak dikompromi malah perhatian dan keutamaan perlu diberikan kepada aspek keselamatan pada permulaan projek lagi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di tapak pembinaan," jelasnya.

Tambah Lam Thye, meskipun pihak berkuasa telah menggubal dan menguatkuasakan undang-undang, namun tanggungjawab bagi melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan adalah terletak pada kontraktor utama dan subkontraktornya.

"Mereka yang mewujudkan risiko dan bahaya adalah berada dalam kedudukan yang lebih sesuai untuk menguruskan risiko dan bahaya tersebut. Dengan itu, kontraktor atau subkontraktor perlu bertanggungjawab dan komited sepenuhnya terhadap kerja yang berkualiti serta piawaian dan amalan keselamatan.

"Mereka yang terlibat dalam industri pembinaan sepatutnya menyedari kesan negatif akibat tidak mematuhi garis panduan keselamatan dengan mengambil jalan mudah, reka bentuk yang tidak sesuai, kemahiran kerja yang kurang bermutu serta penyeliaan yang tidak mencukupi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment