My Add

Tuesday 9 July 2013

Sistem tiket baharu KLIA Ekspres, KLIA Transit

SEPANG, ISNIN, 08 Julai, 2013: Express Rail Links Sdn. Bhd. (ERL) terus komited menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penggunanya apabila hari ini memperkenalkan sistem pembelian tiket secara dalam talian dan layan diri sekali gus memudahkan mereka yang menggunakan perkhidmatan ditawarkan di laluan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd. Noor berkata, sistem tiket automatik baharu untuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang dilancarkan oleh ERL bukan saja menawarkan kemudahan tambahan untuk pengguna, malah menjimatkan kertas dan kos penyelenggaraan mesin tiket.

Beliau berkata, sistem baharu itu akan membantu penumpang membeli tiket tanpa beratur di kaunter selain melancarkan perjalanan penumpang terutama pada waktu puncak.

"Sistem ini akan membolehkan perakuan tiket yang lancar di pintu masuk dan membantu kami menjimatkan kos membeli kertas dan menyelenggara mesin mencetak tiket.

"Menerusi sistem baharu itu, pintu masuk dipasang alat pengimbas atau sentuh, pengguna tidak lagi perlu memasukkan tiket dan melalui pelaksanaan sistem baharu ini ERL turut menyediakan kios layan diri, portal dalam talian dan aplikasi mudah alih untuk menggantikan sistem tiket kertas jalur magnet sedia ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis pelancaran tiket baharu ERL untuk laluan KLIA Ekspres dan KLIA Transit disempurnakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar di KLIA.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan KTB, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh.

Menurut Noormah, kakitangannya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mencipta aplikasi sistem tiket baharu kepada pelanggan ERL.

"Pelanggan boleh memilih untuk membeli tiket sama ada dengan memuat turun melalui telefon bimbit, kios layan diri atau menggunakan kad Touch N Go serta kemudahan Kad Visa payWave di pintu masuk," katanya.

Noormah berkata, sistem baharu itu bukan saja mesra alam, malah penyelesaiannya menggunakan teknologi pengkomputeran awan.

"Pengguna telefon Android boleh memuat turun aplikasi dari Google Play manakala pengguna iPhone boleh mendapatkannya dari App Store.

"Pembelian secara dalam talian dan di kios layan diri akan disediakan dengan tiket kod bar dan penumpang hanya perlu mengimbas kod bar apabila melalui pintu tiket," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid ketika berucap menyeru seluruh syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam agar mewujudkan sistem pembelian tiket secara dalam talian bagi memudahkan pengguna. -  UTUSAN 

No comments:

Post a Comment