My Add

Tuesday 9 July 2013

Tiada had jumlah permit import

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kerajaan tidak bercadang meletakkan sebarang had kepada jumlah permitimport ayam bulat dari negara luar bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan itu menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang berminat mengimport ayam bulat dari luar negara tetapi perlu memastikan terlebih dahulu status halal seperti ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Tempat-tempat penyembelihan ayam berkenaan juga perlulah mematuhi syarat yang dikehendaki Jakim," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Ismail Sabri berkata, kerajaan membuka permit import ayam bulat dari negara luar seperti Thailand, Eropah dan Australia bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap ayam bersih menjelang musim perayaan Aidilfitri bulan depan.

Dalam pada itu, mengulas sama ada sudah ada permohonan yang dikemukakan untuk mengimport ayam menjelang musim perayaan ini, Ismail Sabri memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan.

“Masih terlalu awal. Saya pun baru membuat kenyataan semalam, mungkin dalam tempoh seminggu ini akan ada permohonan untuk mengimport ayam," katanya.

Mengulas sama ada pemberian permit itu akan diteruskan selepas musim perayaan, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut bergantung kepada pengusaha ayam sendiri.

Menurut beliau, kebiasaannya harga ayam selepas musim perayaan akan turun dan menjadi lebih murah sekiranya banyak pengimport ayam di negara ini.

“Situasi ini akan memberi keuntungan kepada pengguna, tetapi tidak kepada peniaga-peniaga ayam. Kerajaan tidak ada masalah, sekiranya masih mahu mengimport, kami membuka ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment