My Add

Sunday 7 July 2013

Tarik balik tidak memadai - Karpal Singh

PULAU PINANG, SABTU, 06 Julai, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan tindakan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 adalah tidak memadai dalam mengelakkan 'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.

Sebaliknya tegas beliau, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersama dalam menyatakan persetujuan supaya pindaan terhadap Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia itu dilakukan.

Dalam masa sama katanya, beliau akan mengemukakan usul supaya pindaan terhadap perkara itu dilakukan di Parlimen minggu depan.

"Pas dan PKR perlu setuju dengan perkara ini kerana jika tidak perkara ini akan menjadi kepentingan umum.

"Kalau tidak bersetuju, DAP mempunyai 38 kerusi di Parlimen, saya bukan mahu mengugut tetapi mahukan persetujuan sebulat suara pakatan pembangkang kerana itu lebih baik memandangkan perkara ini melibatkan kepentingan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Kabinet bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 selepas dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu demi memastikan isu penentuan agama anak diselesaikan dengan cara adil kepada semua.

Beliau dalam pada itu menambah, pindaan berkenaan perlu memandangkan perkataan 'parent' dalam klausa Perkara 12(4) itu merujuk kepada ibu atau bapa dan bukannya ibu bapa.

"Pindaan perlu agar kebenaran menukar agama kanak-kanak di bawah umur ini perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa dan bukan salah seorang sekiranya kedua-duanya masih hidup.

"Kalau ini dibuat, tiada lagi keraguan yang timbul berhubung status agama kanak-kanak bawah umur," jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Karpal mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menyenaraihitamkan Tan Sri Tan Kok Ping dan syarikatnya berhubung kegiatan penggondolan puncak Bukit Relau.

Katanya, Kok Ping perlu bertanggungjawab terhadap semua aktiviti dan tindakan yang dilakukan oleh syarikatnya.

"Tidak siapa boleh usik puncak bukit di negeri ini tanpa kebenaran. Sepatutnya, Kok Ping memantau setiap aktiviti dan perjalanan syarikatnya supaya tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment