My Add

Thursday 25 July 2013

Tiada ruang bagi fahaman Syiah di Melaka - Idris

MELAKA, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kerajaan negeri telah mengarahkan penyiaran sebuah iklan produk minuman yang mempunyai kaitan dengan fahaman Syiah di negeri ini diberhentikan serta-merta.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, keputusan itu diambil selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, sebagai langkah menyokong usaha kerajaan itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah diarahkan untuk memantau apa juga bentuk ajaran dan aktiviti yang mirip fahaman Syiah di negeri ini.

"Tidak ada ruang buat fahaman Syiah boleh disebarkan di negeri ini berikutan pemantauan rapi MAIM dan kerajaan negeri juga telah mewartakan ajaran itu sebagai bercanggah dan menyalahi ajaran Islam sebenar pada 1990.

"Sehubungan itu semua agensi penguatkuasaan yang terlibat di peringkat cawangan, daerah dan negeri telah diarahkan untuk memantau sebarang aktiviti ajaran Syiah," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Perisytiharan tersebut dibuat berpandukan pada peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment