My Add

Saturday 13 July 2013

Tujuh beranak tinggal dalam rumah usang rayu bantuan

TELUK INTAN, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Setiap kali hujan lebat, tujuh sekeluarga yang mendiami sebuah rumah usang di Lorong Sekolah di Kampung Sungai Kerawai di sini, terpaksa mencari tempat berteduh lain.

Malah, mereka juga hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat kerana selain atap yang bocor, rumah mereka juga boleh roboh jika angin kencang.

Namun, apalah pilihan yang ada pada Mat Ror Selaiman, 55, dan isteri, Rahmah Nawi, 49, serta lima anak mereka yang mendiami rumah tersebut sejak 20 tahun lalu.

Mat Ror berkata, rumah usang yang kecil dan sempit itu dibina daripada papan dan kayu terpakai.

"Hendak menjaja cerita saya malu, tapi bila mengenangkan anak-anak dan isteri yang basah setiap kali hujan, saya tidak sanggup. Tambahan ketika melihat buku sekolah anak-anak rosak.

"Sebelum ini saya ada cuba meminta bantuan pelbagai pihak membaik pulih rumah ini, namun tidak berhasil. Untuk membaiki dan mengganti sendiri papan dan atap tersebut saya tidak mampu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Mat Ror yang menghidap penyakit batu karang dan sesak nafas membuat kerja ringan dengan mengambil upah mengutip buah kelapa sawit lerai dengan bayaran antara RM7 hingga RM12 sehari.

Menurutnya, dengan pendapatan itu dia menyara keluarganya termasuk menantunya yang turut tinggal bersama.

Sementara itu, anaknya, Nurul Wajihah, 8, berkata, mereka sekeluarga tidak dapat tidur setiap kali hujan kerana atap rumah yang bocor.

"Saya tahu ayah tidak mempunyai duit untuk ganti atap dan dinding, jadi saya hanya mendiamkan diri dan bertahan.

"Bila cuti sekolah atau hujung minggu, saya tolong ayah kutip buah kelapa sawit. Meskipun pernah terserempak dengan babi hutan dan ular, saya tidak takut kerana mahu membantu ayah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment