My Add

Friday 5 July 2013

UMNO Kalabakan mahu jawatan Presiden, Timbalan kekal

TAWAU, JUMAAT, 05 Julai, 2013: UMNO Bahagian Kalabakan yang mempunyai 191 cawangan mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan pucuk pimpinan parti kelak.

Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat jawatankuasa Umno bahagian itu di sini hari ini.

"Kita harap bahagian lain (Umno) juga membuat keputusan yang sama kerana mereka ini (Presiden dan Timbalan Presiden Umno) sudah menunjukkan kepimpinan yang baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kalabakan di sini.

Abdul Ghapur berkata keputusan itu akan dimajukan sebagai satu daripada usul dalam mesyuarat pemilihan peringkat bahagian itu kelak.

Beliau berkata tidak ada sebab untuk kedua-dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan kerana Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan kepimpinan parti dan kerajaan dengan baik.

Sementara itu, Abdul Ghapur mengingatkan semua peringkat kepimpinan Umno Bahagian Kalabakan bahawa cawangan Umno mempunyai tempoh sehingga 30 Ogos bermula 15 Julai ini untuk menyelesaikan mesyuarat di cawangan masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment